Dari blog
 Misbahulmunir .



Buat  julung kalinya PAS Perak berjaya menganjurkan program Ramah Mesra &  Dialog bersama paderi-paderi dari sembilan buah gereja di bandaraya  Ipoh. Seramai 23 orang paderi-paderi gereja dari berbagai mazhab hadir  di Hotel Hilcity petang semalam. Sebahagian yang lain tidak dapat hadir  kerana menghadiri program gereja di Pulau Pinang.
Program yang  penuh mesra dan ceria berjaya merapatkan hubungan antara PAS dan pihak  gereja yang sebelum ini terpisah kerana prejudisnya pihak gereja  terhadap PAS. Salah seorang wakil mereka Dr. Teoh yang menyampaikan  ucapan aluan menyatakan dengan telus sekiranya 3 tahun sebelum ini PAS  menjemput mereka hadir, sudah pasti tidak ada pihak gereja yang mahu  hadir. Ini kerana gambaran yang mereka terima bahawa PAS adalah parti  agama yang ekstrim dan ganas.


Setelah  PAS berpengalaman menerajui negeri Perak bersama DAP dan PKR serta  pengalaman  memerintah di negeri-negeri lain dan pendirian PAS dalam isu  kalimah Allah dan keganasan,
sikap dan pemikiran mereka mulai  terbuka terhadap PAS, prejudis golongan gereja terhadap PAS mula  terhakis dan kini mereka lebih percaya dengan PAS berbanding dengan  UMNO.

Pimpinan  PAS yang diketuai oleh YB Dato' Seri Hj Nizar telah berjaya menjawab  semua persoalan yang dibangkitkan oleh paderi dalam sesi dialog. Program  dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Perak  selaku pihak penganjur. Dalam ucapan aluan beliau menyatakan bahawa  program hari ini adalah titik permulaan mencari persefahaman dan  persamaan  antara PAS dan gereja dalam menangani apa sahaja isu  masyarakat dan negara. Sebagaimana PAS yang boleh bergabung dengan DAP  walaupun berlainan ideologi, sudah tentu PAS juga boleh berkerjasama  dengan pihak gereja dalam menangani persoalan yang sama dengan melihat  dari persepktif agama yang bersifat universal.
Antara pimpinan  PAS yang hadir ialah Dr. Khairuddin, YB Khalil Idham Lim, YB Zainuddin  Yusuf, Pemangku Ketua Dewan Ulama, Setiausaha Dewan Ulama, Ketua Pemuda,  Ketua Muslimat dan beberapa Jawatankuasa hariannya. Turut hadir sebagai  tetamu ialah YB Dr. Mujahid Yusuf, AJK PAS Pusat.
Penghujung  program, para paderi yang hadir menyatakan rasa gembira dengan pertemuan  ini dah mengharapkan ia lebih kerap lagi dianjurkan.